Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam suratnya dan emel bertarikh 14 April 2020 akan menawarkan Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 terbuka kepada semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Penawaran geran penyelidikan ini yang bersifat jangka pendek, adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada Kerajaan terutamanya kepada Kementerian berkaitan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid19.

Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 ini akan dibuka untuk penyelidik UKM mulai 15 April 2020 sehingga 20 April 2020. Sehubungan itu, penyelidik adalah dipohon untuk mengambil perhatian akan perkara-perkara berikut:

3.1   Syarat permohonan dan peraturan kewangan perlu dirujuk kepada Garis Panduan Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 yang disertakan. Borang Permohonan adalah seperti yang dilampirkan.

 3.2   Permohonan akan dinilai oleh penilaian dalaman peringkat UKM dengan minimum seorang panel berpangkat Profesor dalam bidang kepakaran berkaitan. Ulasan panel beserta bukti tindakan penambahbaikan yang telah diambil turut perlu disertakan.

 3.3   Hanya 10 proposal terbaik yang terpilih akan dihantar ke KPT.

3.4   Ketua Penyelidik mestilah warganegara Malaysia.

 3.5   Ketua Penyelidik mestilah pernah menerima mana-mana geran penyelidikan kompetitif peringkat nasional atau antarabangsa yang berkaitan serta berjaya melaksanakan projek tersebut.

 3.6   Pemohon hanya dibenarkan mengetuai satu (1) projek sahaja dan hanya satu permohonan projek akan diperakukan untuk geran ini.

 3.7   Setiap Kertas Cadangan Penyelidikan mesti diketuai oleh seorang penyelidik utama dan dianggotai oleh 2 orang penyelidik bersama.

 3.8   Tempoh penyelidikan bagi geran ini adalah selama enam (6) bulan (1 Jun-31 Disember 2020)

 3.9   Setiap permohonan projek mestilah memenuhi salah satu bidang yang telah ditetapkan berdasarkan 20 Bidang Utama seperti yang dinyatakan dalam garis panduan. Mohon rujuk Garis Panduan Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 (2020).

 3.10   Jumlah peruntukan yang dipohon hendaklah tidak melebihi siling yang ditetapkan berjumlah RM25,000.00 dan minima RM5,000.00 (berpadanan dengan skop penyelidikan yang akan dilaksanakan. 

 3.11   Hasil Penyelidikan:

Kajian jangka pendek ini diharapkan untuk menghasilkan pelan tindakan yang mengandungi quick wins, jangka pendek dan jangka panjang yang berpaksikan rakyat, kos rendah/efektif, berkonsepkan blue ocean strategy dan memanfaatkan kerajaan yang meliputi aspek:

  1. Keberkesanan polisi sedia ada
  2. Cadangan kepada penambahbaikan polisi/dasar kesan COVID-19
  3. Kerangka Halatuju dan/atau Garis Panduan Baharu
  4. Lain-lain Kerangka Kertas Polisi/Dasar
  5. Penerbitan sekurang-kurangnya 1 jurnal terindeks SCOPUS

3.12   Borang Permohonan perlu ditandatangan dan disertakan bersama CV ringkas setiap penyelidik, carta alir dan carta perbatuan (Gantt Chart). Borang perlu diemelkan kepada ctaida@ukm.edu.my selewat-lewatnya pada 20 April 2020 jam 5.00 petang.

Bersama-sama ini dikemukakan garis panduan, borang permohonan dan jadual kerja bagi permohonan Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 peringkat UKM untuk perhatian pihak YBhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan. Sukacita YBhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan memanjangkan perkara ini kepada semua penyelidik di PTj masing-masing. 

Untuk sebarang pertanyaan berhubung geran ini  YBhg. Datuk/ Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan boleh menghubungi pegawai CRIM secara emel, Puan Siti Noraida Binti Sood (ctaida@ukm.edu.my).

Sila klik dibawah untuk muat turun:-