Malaysia Research Assessment Instrumen (MyRA)

Malaysia Research Assessment Instrumen (MyRA)

Sumber: http://e-myra.mohe.gov.my/

Taksiran Penyelidikan MyRA

MyRA® adalah singkatan bagi Malaysian Research Assessment, atau istilah bahasanya Taksiran Penyelidikan Malaysia. Konsepnya adalah sama seperti Research Assessment Exercise (RAE) yang digunapakai di United Kingdom. MyRA® digunakan untuk menilai kapasiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan. MyRA® merupakan instrumen untuk menaksir keupayaan penyelidikan pada peringkat institusi. Ia mengukur kecemerlangan dengan menilai jarak sesebuah IPT dari profil (tanda aras) yang ditakrifkan sebagai cemerlang bagi sebuah universiti penyelidikan di negara kita. Instrumen MyRA® mempunyai tiga unsur utama iaitu:

  1. Indikator atau kriteria yang menilai IPT;
  2. Tanda aras setiap indicator; dan
  3. Mekasnime penskoran bagi setiap indicator.

Indikator yang digunakan di dalam MyRA® bersesuaian dengan kerangka INPUT-PROSES-OUTPUT bagi kerja penyelidikan. Dimensi INPUT terdiri daripada:

  1. Sumber Manusia – (pensyarah/penyelidikan, pelajar)
  2. Prasarana/Kemudahan – (makmal, kelengkapan, perpustakaan)
  3. Sumber Kewangan – (Geran Penyelidikan, Penyelidikan Kontrak & Perundingan, Yuran   pengajian pelajar dan endowmen)

Dimensi PROSES melibatkan sub-dimensi:

  1. Program Akademik – (Penyeliaan Pasca Siswazah, Latihan)
  2. Proses Penyelidikan – (Pemindahan Teknologi, Pelesenan Teknologi, Pembangunan Teknologi)
  3. Perkhidmatan – (Perundingan, Kontrak Penyelidikan, Kontrak Latihan)

Akhir sekali, dimensi OUTPUT terdiri daripada sub-dimensi:

  1. Pembangunan Kapasiti Manusia – (graduan pasca siswazah dan penyelidik terlatih)
  2. Pembangunan Modal Intelek – (Produk/Proses/Inovasi baru, Paten/IPR, Penerbitan)
  3. Penjanaan Modal Kewangan – (pengkomersilan harta intelek, pendapatan dari program latihan dan perkhidmatan)

Semua indikator ini disusun ke dalam lapan (8) kriteria seperti dalam jadual di bawah.

No

Kriteria

Pemberat

1

Kuantiti dan Kualiti Penyelidik

25

2

Kuantiti dan Kualiti Penyelidikan

30

3

Kuantiti Pelajar Pasca Siswazah

10

4

Kuantiti Pelajar Pasca Siswazah

5

5

Inovasi

10

6

Perkhidmatan Professional & Hadiah

7

7

Rangkaian & Pautan

8

8

Kemudahan Fizikal

5

JUMLAH

100

Pemberat bagi setiap dimensi, dan seterusnya indikator bagi setiap dimensi ditentukan bagi mencerminkan kepentingan dan sumbangan relatif mereka kepada kedudukan penyelidikan IPT berkenaan dari perspektif IPT lain. Tanda Aras (benchmark) setiap indikator ditetapkan pada mulanya dengan menggunakan analisis kes bagi universiti penyelidikan bertaraf dunia. Profil universiti-universiti ditetapkan dan tema sepunya dikenal pasti. Angka-angka tanda aras dikumpulkan dan penentuan tanda aras muktamad bagi universiti penyelidikan Negara ditentukan berdasarkan:

  1. angka-angka tanda aras yang boleh dicapai dalam jangka masa 5-tahun; dan
  2. tanda aras berupaya mendorong ke arah kecemerlangan penyelidikan di IPT Negara.

Instrumen MyRA® akan menilai sejauh mana pencapaian sesebuah IPT tersebut mencapai profil sebagai Universiti Penyelidikan Malaysia yang cemerlang. Oleh itu, skor yang dicapai sesebuah institusi pada setiap indikator mencerminkan jurang atau jarak prestasi IPT dari kadar tanda aras; lebih jauh jurangnya, maka lebih kecil skornya secara berkadaran. Apabila mencapai tanda aras, skor yang diperolehi adalah markah penuh bagi indikator berkenaan. Markah penuh bagi setiap indikator ditentukan dari pemberat dan sub-pemberat yang berkaitan. Dalam kes-kes tertentu, apabila prestasi IPT melebihi atau melangkaui tanda aras, skor boleh melebihi markah penuh yang diperuntukkan. Akan tetapi, keadaan ini hanya dibenarkan bagi kriteria yang diutamakan seperti kuantiti dan kualiti penyelidikan. Akan tetapi atas sebab peredaran masa, instrumen MyRA telah ditambah baik dari segi indikator, tanda aras, pemberat dan sub-pemberat. Perubahan ini mencerminkan pemfokusan bidang keutamaan bagi menjamin MyRA®untuk kekal relevan sebagai pendorong penting bagi agenda penyelidikan Negara.

Kita telah melihat MyRA® II yang diguna pakai untuk menaksir Universiti Penyelidikan matang yang mana terdapat tumpuan lebih tinggi diberikan kepada output dan impak penyelidikan berbanding input dan proses penyelidikan, bersama dengan indikator yang mencerminkan perubahan ini.

Tujuan

MyRA® diilhamkan berdasarkan konsep yang sejajar dengan perkembangan kepentingan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan penyelidikan dalam pembangunan sosio-ekonomi kebangsaan. Dengan evolusi Negara dari ekonomi berasaskan tani ke Negara industri dan seterusnya  mencari kedudukannya dalam ekonomi pengetahuan dan inovasi global, penyelidikan menjadi amat penting untuk menyokong transformasi landskap sosio-ekonomi Negara. Oleh itu, adalah satu keperluan untuk menilai agenda penyelidikan nasional dan agenda Universiti Penyelidikan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Tujuan utama Instrumen MyRA® termasuk (tetapi tidak terhad kepada) yang berikut:

  1. Untuk menilai prestasi universiti tempatan dalam kegiatan Penyelidikan –Pembangunan – Pengkomersilan (R&D&C);
  2. Untuk menilai permohonan Skim Geran Penyelidikan  Fundamental oleh universiti;
  3. Untuk menilai permohonan menjadi sebuah Universiti Penyelidikan; dan
  4. Menilai impak IPT yang telah diberikan status Universiti Penyelidikan.

Lampiran berkaitan:

  1. Glosari MyRA I (Pindaan 2016)
  2. Glosari MyRA II (Pindaan 2016)
  3. Glosari MyRA I (Pindaan 2014) – V2
  4. Glosari MyRA II (Pindaan 2014) – V2
  5. Summary Instrumen MyRA I
  6. Summary Instrumen MyRA II
  7. KPI MyRA I (Jun 2014)
  8. KPI MyRA II (Jun 2014)
  9. Glosari MyRA I (Pindaan 2013)
  10. Glosari MyRA II (Pindaan 2013)
  11. Borang eMyRA – kosong