Hebahan MPSM

Oleh Dahliya Abdul Kadir

Makmal Pencirian Struktur Molekul (MPSM) CRIM telah melakar sejarah apabila menjadi makmal pertama CRIM mendapat sijil pengakreditasian MSISO/IEC 17025:2005 daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) pada 23 Julai 2013. Skop ujian untuk pensijilan adalah Determination of CaffeineContent in Soluble Coffee.

Bagi meraikan acara gilang gemilang ini, satu majlis penganugerah sijil telah diadakan pada 30 Ogos 2013 di Dewan Persidangan CRIM. Sijil Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025:2005 itu disampaikan oleh wakil Ketua Pengarah JSM, Pn. Fariza Wan Abdullah kepada Pengarah CRIM, Prof. Dr. Che Hassan Che Haron. Pn. Fariza berkata MPSM adalah di antara makmal yang berjaya mendapat pensijilan dalam tempoh masa yang pendek iaitu setahun.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UKM atas kejayaan MPSM dan berkata taraf itu perlu dihebah kerana sebuah makmal yang diberi akreditasi adalah sebuah makmal yang mempunyai kebolehan dalam usaha pengujian yang dijalankan.

“Sistem pengurusan yang dilaksanakan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini adalah kerana makmal ini mempunyai kakitangan yang berkemampuan dan terlatih, melaksanakan garis panduan dan kaedah pengujian yang ditetapkan bagi memastikan keputusan ujian mempunyai ketetapan tinggi dan boleh dipercayai,” katanya.

Peranan JSM pula ialah menyediakan sistem yang membolehkan makmal-makmal di Malaysia memenuhi spesifikasi global dan seterusnya bersaing dengan makmal-makmal lain di peringkat antarabangsa.

Pn. Fariza berkata, skim akreditasi itu juga memberikan faedah kepadaindustri dan pengguna dari segi penjimatan kos di mana kedua-dua pihak berasa terjamin terhadap produk tidak kira dari segi kualiti atau kepercayaan dan keselamatan kerana telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“SAMM amat menitikberatkan kecekapan makmal dan kualiti serta data-data pengujian yang dikeluarkan boleh dipercaya.” Cabaran MPSM di masa hadapan adalah untuk mempromosikan perkhidmatannya serta mengekalkan kedudukannya itu.

Prof. Dr. Che Hassan Che Haron di dalam ucapannya berkata kejayaan MPSM memperolehi akreditasi ini merupakan kesungguhan dan kegigihan staf makmal yang baharu sahaja berpindah ke kompleks penyelidikan CRIM.

MPSM adalah makmal ke-6 di UKM yang telah berjaya mendapat status akreditasi selepas UnipeQ, Makmal Bioserasi, Jabatan Analisis Diagnostik PPUKM, The Malaysian Cohort dan UMBI.

Beliau berkata pembudayaan kualiti di UKM harus ditingkatkan dari semasa ke semasa, disemua peringkat terutama makmal-makmal perkhidmatan. Ini kerana, tadbir urus yang baik, profesional dan mengikut piawai antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan infrastruktur, sistem sokongan dan operasi makmal tersebut dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik dan bersistem. Tadbir urus yang baik, budaya kualiti yang unggul, infrastruktur yang berteknologi tinggi serta sumber yang mencukupi adalah antara faktor kritikal yang diperlukan untuk memastikan UKM terus maju dan berkembang sebagai sebuah universiti yang setanding dengan universiti ranking kelas dunia.

Di akhir ucapan, beliau berharap supaya ada lebih banyak makmal UKM yang akan melalui proses akreditasi pada masa hadapan. Dengan adanya makmal-makmal yang berkualiti, dengan peralatan terkini dan canggih, dengan kakitangan-kakitangan yang terlatih serta mempunyai daya saing yang tinggi dan juga keputusan analisis yang kompeten dan diiktiraf diperingkat antarabangsa, hasrat universiti untuk melahirkan para ilmuan dan pakar yang terbilang diharapkan akan dapat direalisasikan. Penerapan budaya kerja berkualiti tinggi, diikuti dengan insfrastuktur yang canggih juga berkualiti tadbir urusnya, citra UKM pastinya lebih menyerlah dan kelestarian UKM sebagai universiti terunggul di Malaysia